BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday 21 May 2012

Catatan Buku Lama 1 : Pendidikan Ke Arah Perpaduan Sebuah Perspektif Sejarah


Judul buku : Pendidikan Kearah Perpaduan
Pengarang : Diselenggarakan oleh Tan Sri Awang Had Saleh
Penerbit : Penerbit Fajar Bakti SDN BHD
Tahun Terbitan : 1980

Secara ringkasnya buku ini sebenarnya sangat hebat kerana ia memuatkan rencana-rencana yang dikarang oleh pakar pendidikan negara. Buku ini disunting dan diselenggarakan oleh tokoh akademik yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu Tan Sri Awang Had Salleh. 

Persoalan utama yang terkandung didalam buku ini ialah betapa peri pentingnya pendidikan sebagai ejen kepada perpaduan. Penulis - penulis yang menulis didalam buku ini cuba memberi satu pandangan awal ( pada masa itu ) tentang sejauh manakah sistem pendidikan yang diamalkan di negara kita mampu untuk memberikan hasil yang terbaik di masa hadapan.

Terdapat juga kupasan yang menarik tentang sejauh manakah sistem pendidikan lampau berjaya mempengaruhi kejayaan sistem yang ada pada masa itu ( sewaktu buku ini diterbitkan ). Sejujurnya kita mungkin boleh menemui sama ada benar atau tidak ramalan-ramalan yang dijangkakan oleh pakar-pakar akademik di dalam buku bewarna hijau tua ini.

Sesuatu yang menarik tentang buku ini ialah tentang satu makalah yang dikarang oleh pensyarah yang sangat saya sanjungi ketika menyambung pelajaran di UPSI dahulu iaitu Profesor Emeritus Dato' Dr Isahak Bin Haron. Judulnya juga menarik perhatian saya iaitu tentang perkembangan Bahasa Melayu di sekolah menengah kebangsaan dalam tahun 1957 sehingga 1970.


Buku ini sangat berguna bagi bakal-bakal guru dan juga para pengkaji sejarah pendidikan negara kita. Walaupun usianya sudah menjangkau 32 tahun namun saya yakin isi kandungannya masih relevan dengan situasi zaman yang serba mencabar ini. 


Harga Termasuk Bayaran Pos : RM 15.00

Wednesday 16 May 2012

Kutub Khanah Usang

Buku-buku lama koleksi Hafez J.Malim

Assalamualaikum kepada pembaca yang sudi singgah ke blog Kutub Khanah Usang ini. Saya mempunyai sejumlah koleksi buku-buku lama yang mungkin menjadi carian penting bagi sesetengah individu bagi tujuan rujukan atau sebagainya. 

Kebanyakan buku-buku dalam koleksi saya didapati menerusi pembelian, carian, pemberian dari individu-individu tertentu malahan ada yang saya kutip dari tempat pelupusan sampah. Walaupun ada buku-buku dalam simpanan saya ini agak uzur namun saya menginsafi, ia mungkin mempunyai nilai ilmu pengetahuan yang sangat tinggi pada pencintanya.

Saya akan mengulas buku-buku berkenaan dengan sejujurnya diri saya tanpa ada rasa prejudis. Sekiranya anda berminat dengan buku-buku koleksi saya, anda boleh menghubungi diri saya dan insyaAllah harganya boleh kita rundingkan. Apalah sangat pada harga jika ilmu yang dicari boleh kita kongsikan bersama-sama. InsyaAllah.